zulkiply menulis "KUALA LUMPUR, Sept 22 - Jika Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekadar menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew sebagai nakal, tidak wajar dan tidak diperlukan, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula memulangkan paku buah keras dengan mempersoalkan balik mengapa orang-orang Melayu di Singapura dipinggirkan sehingga tidak ada status sama sekali.
Kuan Yew mendakwa orang-orang Cina di Indonesia dan Malaysia dipinggirkan secara sistematik.
Dalam kecamannya terhadap kenyataan Kuan Yew itu, Dr Mahathir mengulangi lagi penegasannya sebelum ini bahawa orang-orang Melayu Singapura ditekan, dipinggirkan dan ditindas.
"Cuba adakan siasatan bebas, kenapa orang Melayu tertinggal di Singapura. Bukan mereka kurang daripada orang Melayu di Malaysia tetapi mereka telah ditekan, dipinggirkan dan ditindas.
Itulah kerajaan yang diasaskan oleh pendapat Lee Kuan Yew, Dr Mahathir dilaporkan sebagai berkata.
Menurut Dr Mahathir, tidak ada negara lain yang yang melakukan apa yang diperlakukan oleh Singapura terhadap orang-orang Melayu di negara itu.
Kita juga boleh tanya apa kedudukan orang Melayu di Singapura, kenapa mereka tidak dibenarkan dalam tentera memikul senjata atau pun dilatih menggunakan senjata. Kenapa orang Melayu di Malaysia ini begitu cekap dalam bidang tentera tetapi di Singapura, tidak dapat pegang jawatan tinggi.
Kenapa orang Melayu dipinggirkan sehingga mereka tiada kedudukan sama sekali. Ini dilakukan dengan sengaja oleh Singapura. Tidak ada negara lain yang membuat tindakan yang semacam itu,kata Dr Mahathir.
Beliau membidas kenyataan Kuan Yew itu dan menyifatkan Menteri Mentor Singapura itu sebagai angkuh dan tidak tahu menghormati negara-negara jiran.
Kuan Yew berlagak angkuh kerana beliau merasa beliau berada dalam kedudukan yang begitu kuat, kata Dr Mahathir.
Dia (Lee) berasa dia kuat, dia dah jadi sombong, dia pun tak hairan dengan jiran-jiran. Itu sebab dia sengaja bangkitkan perkara itu sedangkan dia tahu ini adalah perkara yang sensitif di dalam negara kita, katanya.
Dalam kenyataan pada forum sempena mesyuarat Bank Dunia - Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) di Singapura, Kuan Yew berkata, Singapura memerlukan kerajaan yang memiliki keberanian dan kemahiran untuk mengatakan ‘tidak’ kepada negara-negara jirannya yang lebih besar dan didominasi penduduk beragama Islam.
Beliau mendakwa, Indonesia dan Malaysia meminggirkan mereka secara sistematik orang-orang Cina yang bekerja keras dan berjaya kerana mempunyai masalah dengan mereka.
Kedua-dua negara itu, kata Kuan Yew, mahu Singapura menjadi pak turut seperti orang-orang Cina di negara mereka.
Dr Mahathir berkata, dakwaan Kuan Yew itu tidak benar kerana terdapat orang-orang Cina yang memegang jawatan tinggi, contohnya di dalam tentera.
"Orang Cina di sini dapat masuk tentera sehingga pegang jawatan Jeneral, Mejar Jeneral dan sebagainya. Tetapi (bagaimana pula) orang Melayu di Singapura, dia punya pendapatan per kapita berbanding dengan orang Cina di Singapura, cuba bagi tau".
Dr Mahathir juga mengingatkan Kuan Yew supaya jangan merasa begitu bangga dan puas hati dengan apa yang dikatakannya.
"Awak jaga periuk nasi awak sudahlah. Awak tak laku, awak pun bukan bijak sangat. Dalam satu kumpulan yang kecil, mungkin awak nampak bijak.
(Tetapi) bila dia pergi China. Orang Cina di sana pun tidak akan dengar. Orang China pun tak pandang hormat kepada dia kerana dia sebenarnya dipinggirkan oleh orang Cina di seluruh dunia, katanya
-ah dari Harakahdaily
No comments:
Post a Comment